Friday, November 23, 2007

Lagi Bencana Selain Banjir

kolam ikan di puncak Bukit Berapit punca tanah runtuh

KUALA LUMPUR 23 Nov — Keretakan pada dua kolam ikan di puncak Bukit Berapit, Kuala Kangsar dikenal pasti sebagai punca utama kejadian tanah runtuh di kawasan itu semalam.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, siasatan awal menunjukkan keretakan pada kolam ikan milik swasta itu telah menyebabkan air meresap dan mengganggu struktur tanah pada cerun tersebut.

“Kejadian ini menyebabkan kolam takungan pecah dan limpahan air kolam takungan ini mengalir deras menyebabkan kerosakan besar pada cerun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan tahunan Federation of Operative Dentistry of India di sini hari ini.

Beliau berkata, tindakan undang-undang tidak dapat diambil berikutan kolam itu dibina oleh pemilik tanah persendirian.

Bagaimanapun katanya, beliau akan menggesa pihak berkuasa tempatan supaya tidak meluluskan sebarang projek pembinaan pada kawasan-kawasan sensitif.

Samy Vellu yang melawat tempat kejadian hari ini berkata, beliau akan mengarahkan pihak syarikat Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) supaya membuat tinjauan udara dan mengenal pasti sebarang aktiviti pembangunan di kawasan-kawasan cerun berisiko tinggi yang boleh menyebabkan tanah runtuh.

“Ini bagi mengelakkan kejadian serupa berulang memandangkan kebanyakan kejadian yang berlaku adalah berpunca daripada aktiviti manusia,” katanya.

Katanya, Jabatan Kerja Raya dan PLUS juga diarahkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan perjalanan trafik di kawasan tersebut lancar sewaktu kerja pemulihan dan pembersihan dijalankan.

Kejadian tanah runtuh di Kuala Kangsar yang melibatkan sebahagian Lebuhraya Utara-Selatan seksyen 231.60 arah selatan telah dibuka semula pada pukul 5 petang semalam manakala jalan persekutuan bersebelahan dibuka lewat malam tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.20 pagi semalam, seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaannya diseret oleh runtuhan tanah tersebut.- Bernama

(sumber: Utusan Malaysia 24 November 2007)

Tuesday, November 6, 2007

sumbangan kepada mangsa bencana alam

Penduduk Benta sumbang RM6,027.40 tabung gempa


Mohd. Soffi (empat dari kiri) dan Ahli Parlimen Kuala Lipis, Shahrom (enam dari kiri) menyerahkan kutipan sumbangan daripada orang ramai yang menghadiri majlis Aidilfitri DUN Benta untuk Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank berjumlah RM6027.40 kepada wakil Utusan Temerloh, Ali Mahmood (tiga dari kanan) semalam.

KUALA LIPIS 3 Nov. – Penderitaan mangsa gempa bumi di Indonesia terus mendapat simpati rakyat negara ini yang telah menghulurkan sumbangan bagi membantu meringankan bebanan mereka.

Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta, Lipis tidak ketinggalan turut menyumbang sebanyak RM6,027.40 hasil kutipan pada majlis jamuan Aidilfitri DUN tersebut, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta, Datuk Mohd. Soffi Tan Sri Razak terharu apabila orang ramai tampil menghulurkan sumbangan untuk membantu rakyat negara jiran yang ditimpa bencana gempa bumi.

‘‘Kutipan yang dibuat hanya dalam tempoh tiga jam membuktikan rakyat negara ini cukup prihatin terhadap nasib malang yang menimpa rakyat negara jiran dan sumbangan ini akan disalurkan kepada mereka melalui Tabung Gempa Nusantara Utusan-Maybank,’’ katanya.