BANJIR MELANDA MALAYSIA..
TIADA PILIHAN: Penduduk setempat terpaksa mengharungi air banjir di sepanjang laluan jalan ke Pekan Rantau Panjang ketika paras air di situ semakin meningkat. |
Pahang bersiap sedia hadapi fenomena air pasang besar diramal Jumaat
Pahang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan ramalan kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir besar di negeri itu mulai Jumaat ini akibat fenomena air pasang.
Malah, keadaan banjir di negeri itu dan Kelantan semalam tidak banyak berubah dengan seorang lagi mangsa dilaporkan lemas di Tanah Merah membabitkan seorang budak perempuan berusia enam tahun, menjadikan korban banjir setakat ini meningkat kepada 22 orang.
Jalan Gua Musang-Kota Bharu di Kilometer 65 juga ditutup kepada semua kenderaan berikutan kejadian tanah runtuh, kira-kira jam 8.45 pagi semalam.
Di Johor pula, hanya Muar, Batu Pahat dan Segamat masih terjejas manakala semua pusat pemindahan di Mersing ditutup sepenuhnya tengah hari semalam, sementara keadaan di Terengganu pulih sepenuhnya dengan semua 12 mangsa banjir sudah dibenarkan pulang.
Sehingga lewat petang semalam, 29,176 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan di tiga negeri, iaitu Pahang 21,699 orang, Kelantan (3,875) dan Johor (3,602).
TUNGGU BANTUAN: Mangsa banjir menanti bantuan bot polis untuk ke Pekan apabila Jalan Kuantan-Pekan di KM24 ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir. |
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditemui pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Batu 8, Lepar, Jalan Kuantan-Muadzam Shah, berkata kerajaan sudah bersedia menghadapi gelombang kedua banjir besar itu.
"Mengikut ramalan, air pasang di muara sungai akan berlaku 21 Disember ini dan akan jadi satu lagi keadaan (banjir) yang kita perlu beri perhatian berat.
"Kita tidak tahu lagi (akan berlaku gelombang kedua) tapi ada kemungkinan air ini tidak akan surut secepat mana yang kita sangkakan," katanya yang sebelum itu meninjau keadaan banjir di daerah Pekan dan Bera dengan menaiki helikopter. Turut sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Mengulas kenaikan harga barang pada musim banjir sekarang, termasuk sebatang lilin berharga RM4 dan setong gas mencecah RM60, Najib mengingatkan peniaga supaya tidak mengeksploitasi keadaan banjir untuk menaikkan harga barangan sesuka hati.
HARI BERSEJARAH: Majlis kahwin tetap diadakan walaupun banjir melanda Muar. |
Mengenai pengagihan bantuan kepada mangsa banjir, beliau berkata, tinjauannya semalam mendapati semua urusan dikendalikan dengan baik.
"Walaupun sesetengah tempat terputus hubungan, mereka tidak terputus bekalan keperluan. Kita tetap hantar bekalan sama ada melalui lori tiga tan, trak tentera, bot atau helikopter.
"Adnan juga sudah menjadikan Kuantan sebagai pangkalan segala bantuan dan dari situ, kita mengagihkannya menggunakan kemudahan yang ada pada tentera untuk dihantar ke pusat pemindahan yang memerlukan," katanya.
Najib berkata, penduduk yang gagal menerima bantuan makanan sebenarnya membabitkan mangsa yang enggan berpindah ke pusat pemindahan.
Bagaimanapun, katanya, arahan sudah diberi supaya bantuan sama tetap dihantar kepada penduduk terbabit.
Beliau berkata, sumbangan kepada mangsa banjir yang diterima daripada sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) juga semakin meningkat.
"Masalah banjir yang berterusan sekarang disebabkan hujan di kawasan hulu, sekali gus melambatkan proses air surut yang sebelum ini dijangka cepat berlaku," katanya.
Najib juga berharap mangsa banjir memahami kesukaran yang dialami pihak berkuasa dengan tidak membuat permintaan yang luar biasa dan sukar untuk diuruskan.
Katanya, setakat ini banyak barangan yang tidak termasuk dalam jadual bantuan asal termasuk lampin pakai buang bayi, tuala wanita, susu bayi dan lampu suluh, turut diberi kepada mangsa banjir.