Wednesday, December 26, 2007

PM: Tangani masalah air -- Berikutan 165,000 penduduk Pahang terputus bekalan sejak dua minggu


Abdullah Ahmad Badawi beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan, Pahang, semalam. – Gambar RUSHDI SALLEH.

PEKAN 26 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan agensi-agensi kerajaan supaya segera menangani masalah yang dihadapi 165,000 penduduk di beberapa daerah di Pahang yang terputus bekalan air sejak dua minggu lalu akibat banjir.

Masalah itu harus diatasi secepat mungkin, kata Perdana Menteri, kerana air merupakan antara sumber paling penting dalam kehidupan manusia.

‘‘Mereka semua akan dibantu segera sebab air adalah satu keperluan... hendak baiki kerosakan ini tidak mengambil masa yang panjang,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Sains Sultan Ahmad Shah di sini.

Terdahulu, Abdullah yang tiba dengan helikopter pada pukul 5.30 petang untuk meninjau keadaan banjir di negeri ini turut melakukan lawatan yang sama di Institut Kemahiran Mara (IKM) dekat sini selain mendengar taklimat mengenai perkembangan banjir di Pejabat Daerah Pekan.

Taklimat kira-kira 45 minit itu disampaikan oleh Pegawai Daerah Pekan, Datuk Abdul Basik Md. Shah dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Ini merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke Pahang dalam tempoh dua minggu. Beliau telah pun meninjau keadaan banjir di negeri ini pada 13 Disember lalu.

Sebelum banjir itu surut, lebih 23,000 penduduk negeri ini terpaksa dipindahkan kerana rumah mereka ditenggelami air dengan Pekan mencatatkan mangsa paling ramai. Kini cuma tinggal 3,800 penduduk yang masih ditempatkan di pusat penempatan banjir.

Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang hari ini mengesahkan kira-kira 165,000 penduduk negeri ini masih terputus bekalan air setelah pam di beberapa loji yang membekalkan air rosak akibat banjir, melibatkan daerah Maran, Bera, Temerloh, Mentakab dan Kuantan.

Mengulas isu itu, Perdana Menteri memberitahu, kerja membantu mangsa banjir di seluruh negara sedang digerakkan dengan baik.

Beliau yakin masalah bekalan air terputus tersebut dapat diatasi segera.

‘‘Di samping itu, kerjasama daripada mangsa-mangsa banjir juga elok.

“Saya berterima kasih kepada mereka yang turut membantu termasuk semua agensi dan jabatan kerajaan,” katanya sambil berharap mangsa-mangsa banjir dapat pulang ke rumah masing-masing dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta penduduk di negeri-negeri yang mengalami banjir baru-baru ini supaya berwaspada kemungkinan berlaku banjir gelombang kedua.

Sejak dua minggu lalu, selain Pahang, turut dilanda banjir ialah Johor, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Abdullah mengarahkan agensi-agensi kerajaan bersiap sedia dalam menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku.

‘‘Kita siap sedia sajalah, harap-harap tidak jadi (gelombang kedua),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri meminta bantuan kewangan kepada mangsa banjir disalurkan dengan kadar segera.

Mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai kerugian RM27.6 juta yang dialami pesawah padi di Kedah ekoran 8,500 hektar sawah di negeri itu ditenggelami banjir, Abdullah berkata, kerajaan sedang membuat taksiran tentang kerosakan tersebut.

“Apa pun itu (bantuan kewangan) nanti kemudian, sekarang peringkat membuat taksiran (kerugian akibat banjir),” katanya.


Oleh Siti Mariam Md. Zain (utusan malaysia)