Thursday, May 22, 2008

BAB V



PERBINCANGAN, RUMUSAN DAN CADANGAN


5.1 PENDAHULUAN

Bab ini akan mengupas secara lebih lanjut mengenai hasil analisis-analisis yang telah dijalankan. Terdapat tiga aspek yang telah dianalisis. Aspek yang pertama ialah masalah-masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor informal. Aspek yang kedua pula ialah sejauh manakah sektor informal ini dapat mengubah dan membantu dalam meningkatkan sosioekonomi penjaja dan masyarakat setempat. Aspek yang terakhir ialah melihat persepsi mereka yang terlibat dengan sektor informal terhadap keupayaan sektor ini sebagai sumber pendapatan atau pekerjaan sepenuh masa mereka serta mengkaji harapan dan potensi mereka dalam mencapai status seorang usahawan berjaya pada masa hadapan. Bab ini juga akan menerangkan tentang cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh responden dan pengkaji bagi memajukan lagi sektor ini agar setanding dengan sektor formal.

5.2 PERBINCANGAN HASIL ANALISIS KAJIAN

Setelah membuat kajian di Bandar Baru Bangi, dapatlah dirumuskan bahawa kajian ini banyak memberi pendedahan mengenai keadaan sebenar sektor informal (penjaja) yang terdapat di kawasan ini. Hasil daripada dapatan kajian ini juga dapat menjawab persoalan yang juga merupakan tujuan kajian ini. Antara tujuan kajian ini adalah seperti mengkaji
masalah-masalah sebenar yang dihadapi oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor informal, melihat sejauh mana sektor ini dapat mengubah dan membantu dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat. Selain itu, pengkaji ingin melihat persepsi mereka yang terlibat dengan sektor informal terhadap keupayaan sektor ini sebagai sumber pendapatan atau pekerjaan sepenuh masa mereka, mengkaji harapan dan potensi mereka serta sektor informal dalam membantu mereka mencapai status seorang usahawan berjaya di masa hadapan.

5.2.1 Masalah-Masalah Sebenar yang Dihadapi oleh Sektor Informal (Penjaja)

Dalam kajian yang telah dijalankan, beberapa masalah utama yang dihadapi oleh para penjaja telah dikenal pasti. Antaranya ialah masalah untuk memiliki lesen atau permit perniagaan yang sah, masalah persaingan perniagaan di antara penjaja, masalah kewangan, masalah tapak perniagaan dan sebagainya. Bagi masalah pemilikan lesen atau permit perniagaan yang sah, pengkaji telah mengenalpasti beberapa faktor yang menyebabkan timbulnya masalah ini. Antara faktor-faktor tersebut adalah disebabkan taraf kewarganegaraan. Kebanyakan daripada mereka merupakan penjaja warganegara Indonesia (yang memiliki kad pengenalan merah). Menerusi temubual yang telah dibuat ke atas Pegawai Tadbir Bahagian Perlesenan MPKj iaitu Encik Zahari Shukri Bin Zainal, taraf kewarganegaraan seseorang memang merupakan salah satu syarat utama bagi mendapatkan permit perniagaan sementara. Walau bagaimanapun, bagi memiliki permit kedai, taraf kewarganegaraan tidak diambil kira. Ini adalah disebabkan permit perniagaan sementara ini bertujuan untuk membantu golongan bumiputera di dalam menangani masalah sosioekonomi mereka.

Lokasi perniagaan yang dimohon juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan penerimaan atau lulusnya sesuatu permit itu. Ini disebabkan terdapat responden yang memohon tapak perniagaan di Seksyen Lapan, mengadu permitnya tidak diluluskan. Setelah pengkaji menyuarakan masalah ini kepada En. Zahari Shukri (Pegawai Perlesenan MPKj), beliau menerangkan yang lesen perniagaan sementara hanya diluluskan jika berada di lokasi-lokasi yang dibenarkan sahaja. Menurut beliau lagi, antara lokasi larangan adalah di kawasan-kawasan elit seperti di Seksyen Dua, Seksyen Lapan, kawasan Tasik Cempaka dan sebagainya. Bagi kes penjaja yang sudah memenuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan dan sudah lama membuat permohonan tetapi masih tidak memperolehi permit perniagaan, En. Zahari Shukri telah menjelaskan bahawa permit perniagaan sementara ini dikawal dan dihadkan supaya tidak terlalu banyak penjaja yang berniaga di satu-satu kawasan. Maka masih ada penjaja yang tidak memiliki permit perniagaan dan biasanya mereka ini akan dikenakan kompaun atau barangan perniagaan mereka akan disita kesemuanya. Walau bagaimanapun, pada pemerhatian pengkaji, mereka ini sepatutnya memiliki permit perniagaan sementara. Hal ini disebabkan tapak yang digunakan tidak mengganggu lalulintas dan bukan terletak di kawasan larangan. Kajian yang dijalankan juga menunjukkan masih banyak penjaja yang tidak memiliki permit perniagaan yang sah di kawasan tersebut walaupun sudah lama membuat permohonan. Sedangkan mereka yang memohon lambat mendapat permit perniagaan terlebih dahulu. Justeru itu, pihak-pihak yang berkenaan haruslah memantau masalah ini bagi membantu masyarakat setempat dalam meningkatkan taraf ekonomi mereka dan sekaligus dapat menangani masalah kemiskinan bandar.

Bagi masalah persaingan dalam sektor ini pula, didapati majoriti penjaja menjual makanan dan minuman yang sama jenis dan berada berdekatan di antara satu sama lain terutamanya di kawasan Seksyen Enam Belas (lihat lampiran 5). Walau bagaimanapun, melalui pemerhatian pengkaji, masalah ini tidak memberi kesan yang bergitu besar kepada penjaja kerana masih ramai pelanggan yang masih sanggup berbelanja ke atas barangan jualan tersebut dan persaingan yang sihat sememangnya sudah menjadi ‘asam garam’ di dalam sesuatu perniagaan serta merupakan salah-satu cabaran yang mesti ditempuhi oleh seorang usahawan.

Bagi masalah kewangan pula, kebiasaannya dihadapi oleh mereka yang baru menceburi bidang ini. Walaupun kepenjajaan ini merupakan sebuah organisasi yang kecil dan tidak memerlukan teknologi yang tinggi, tetapi ianya tetap memerlukan modal pusingan yang cukup. Justeru itu, pihak yang berkenaan haruslah memberi bantuan dan melonggarkan syarat pinjaman wang kepada golongan ini.

5.2.2 Sejauh Manakah Sektor Informal (Penjaja) Dapat Mengubah dan Membantu Dalam Meningkatkan Sosioekonomi Masyarakat Setempat

Merujuk kepada kajian yang telah dijalankan, sektor informal (kepenjajaan) sememangnya dapat membantu dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat. Sektor ini telah dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat Bandar Baru Bangi yang majoritinya merupakan imigran dari negeri luar seperti Kelantan, Perak, Pahang, Kedah dan sebagainya. Tambahan lagi, sektor ini tidak memerlukan tahap penggunaan teknologi yang tinggi, tahap kepakaran yang tinggi dan tidak mengambil kira taraf pendidikan. Justeru itu, ianya terbuka kepada semua masyarakat setempat untuk menceburi bidang ini. Hasil daripada kajian juga menunjukkan majoriti responden bersetuju yang sektor informal (kepenjajaan) ini dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat sekaligus membaiki taraf ekonomi mereka dan mengurangkan masalah kemiskinan bandar. Bagi segelintir responden yang mengatakan sebaliknya pula, mungkin mereka merasakan kepenjajaan ini sukar disebabkan masalah memperolehi permit daripada pihak berkuasa tempatan dan ini akan menyebabkan pelbagai masalah akan timbul.

Menurut pendapat pengkaji lain iaitu Nor Aini Hj Idris (1996), beliau mengatakan yang sektor informal memang mempunyai daya tarikan untuk menarik minat orang ramai untuk menceburi bidang ini. Masykur Wiratmo (1992) turut menyokong penyataan ini dengan mengatakan bahawa ciri-ciri yang dimiliki oleh sektor informal seperti operasi yang berskala kecil, usaha atau hak milik keluarga, memerlukan modal yang sedikit, mudah diceburi, waktu dan tempat kerja yang fleksibel serta faktor-faktor lain lagi yang telah menyebabkan ia sering menjadi tumpuan masyarakat sekeliling dalam membantu menangani masalah kewangan mereka. Maka, jelaslah membuktikan bahawa sektor informal (kepenjajaan) ini dapat membantu dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat sekeliling dan sekaligus membantu menangani masalah sosioekonomi masyarakat tempatan serta menghapuskan masalah kemiskinan bandar.

Menurut Abdul Samad Hadi (dalam Roadah bt. Osman. 1990), sebahagian daripada golongan miskin di bandar telah membentuk satu kehidupan tersendiri yang mana mereka mencari rezeki melalui jaringan kegiatan informal atau kegiatan kecil-kecilan di dalam satu sistem ekonomi yang semakin dikuasai oleh pemodal-pemodal besar. Ini menunjukkan masyarakat dapat terus hidup walaupun berada di bandar yang memerlukan kemahiran dan kelulusan akademik yang tinggi dengan adanya sektor informal. Menurut McGee (1979) pula, penjaja telah memainkan peranan penting dalam sistem pemasaran dan pengagihan barangan di bandar. Walaupun perolehan daripada aktiviti ini rendah jika dibandingkan dengan aktiviti perniagaan yang berskala besar, namun ianya tetap memberi banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat, tidak kiralah sama ada sebagai pekerjaan tetap ataupun sambilan. Mc Gee juga merumuskan bahawa kegiatan ini sebagai satu kemestian dan keperluan yang efektif dalam fungsi ekonomi bandar. Ketiadaan mereka akan mendatangkan kesan ke atas kos hidup dan menghapuskan kehidupan yang berwarna-warni di bandar.

Sektor informal ini bukan sahaja dapat mengubah dan membantu dalam meningkatkan sosioekonomi penjaja berkenaan sahaja, malah dapat menyediakan kemudahan dan membantu masyarakat di sekitar mereka. Hal ini kerana mereka ini dilihat telah banyak membantu dalam meningkatkan ekonomi keluarga, membekalkan bahan yang murah serta mudah kepada masyarakat dan menyediakan perkhidmatan yang dapat meringankan dan melicinkan kehidupan harian masyarakat setempat.

5.2.3 Harapan dan Potensi Sektor ini Pada Masa Hadapan

Melalui data yang diperolehi serta kaedah observasi, pengkaji mendapati mereka yang terlibat secara langsung dengan sektor ini mempunyai harapan yang tinggi terhadap perniagaan mereka pada masa hadapan. Kebanyakan daripadanya ingin bergelar usahawan berjaya yang akan memiliki premis tetap sendiri. Ada di antara mereka juga mengatakan ingin membuka cawangan perniagaan, membesarkan lagi perniagaan, mengusahakan sendiri barangan sehingga menjadi pembekal dan lain-lain lagi. Ini jelaslah menunjukkan setiap responden mempunyai cita-cita dan harapan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka sehingga ke tahap usahawan (membuka cawangan) yang setaraf dengan usahawan yang lain atau menjadi sektor formal (memiliki kedai sendiri). Hal ini juga menunjukkan bahawa model tahap perkembangan fungsi keusahawanan dan organisasi yang telah diterangkan di dalam bab 2 (lihat halaman 26), kajian ini memang boleh diaplikasikan dan direalisasikan ke alam realiti sektor informal (kepenjajaan) hari ini.

Berdasarkan model Schumpeter (dalam Mohd Rosli Mohamad. 1998), pada tahap pertama aktiviti keusahawanan ini bermula adalah semata-mata untuk memenuhi kepuasan diri seseorang individu iaitu mencari rezeki untuk meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi individu atau penduduk setempat. Organisasi perniagaan masih berskala kecil dan bersifat individu iaitu bersesuaian dengan konsep kepenjajaan yang difokuskan. Manakala organisasi ekonomi pula masih bergerak dalam konteks pasaran bebas. Persaingan sempurna wujud kerana terdapat banyak firma atau perniagaan lain di pasaran. Mereka adalah pengambil harga dan bukannya penentu harga.

Pada tahap kedua, perkembangan perniagaan yang semakin pesat akan membenamkan fungsi asal keusahawanan secara individu, firma atau perniagaan kecil akan menjadi sebuah organisasi yang besar melalui proses penyatuan dan pengambilalihan atau melalui perkembangan semulajadi. Menurut Galbraith, fungsi keusahawanan pada tahap kedua ini tidak lagi berteraskan individu, tetapi sebagai sekumpulan golongan profesional (teknostruktur) yang menguruskan aktiviti organisasi. Kebanyakan aktiviti perniagaan mula dikawal dan ditadbir melalui proses pembuatan keputusan dalaman, kebiasaannya di peringkat ibu pejabat. Apabila proses yang dikenali sebagai internalisasi ini tercapai, aktiviti ekonomi mula diselaraskan oleh organisasi. Kesan di sebaliknya ialah fungsi pasaran sebagai agen penyelaras aktiviti ekonomi menjadi semakin merosot.

Pada tahap terakhir, kesemua aktiviti ekonomi dikenali sebagai Birokrat Weber. ianya dikawal dan diputuskan secara bersama oleh organisasi pusat berskala besar. Bagi memudahkan usaha penyelarasan aktiviti ekonomi, sesebuah sistem organisasi penuh biasanya dicirikan oleh beberapa perkara asas yang jelas. Antara ciri-cirinya ialah pembahagian tenaga kerja, struktur hubungan berbentuk piramid antara pemimpin dengan pengikut dan kewujudan undang-undang dan peraturan formal. Beginilah konsep atau model tahap perkembangan fungsi keusahawanan dan tidak mustahil akan berlaku ke atas sektor informal (kepenjajaan) ini jika perkembangan dan kemajuannya dikawal, diberikan galakan dan dibantu seperti mana sektor-sektor usahawan yang lain seperti Industri Kecil dan Sederhana (IKS).


5.3 RUMUSAN

Secara keseluruhannya, majoriti responden menyatakan bahawa perniagaan menjaja ini boleh membawa keuntungan walaupun tidak selumayan yang dinikmati oleh sektor-sektor formal yang berskala besar. Akan tetapi ianya dikatakan tetap dapat meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi mereka ke tahap kehidupan yang lebih baik. Pihak penguatkuasa tempatan pula iaitu Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut terlibat secara aktif dalam membantu pihak penjaja berniaga secara sah dengan memberi permit kepada mereka dan membuat pemantauan serta kawalan bagi menjaga faktor fizikal Bandar Baru Bangi. Hal ini jelas melalui penggubalan prosedur-prosedur, akta-akta, undang-undang dan juga peruntukan yang telah dikuatkuasakan oleh pihak terbabit yang bertujuan memperkemaskan lagi keterlibatan aktiviti penjajaan di kawasan Bandar Baru Bangi. Walau bagaimanapun, terdapat sedikit masalah birokrasi yang ditemui oleh pengkaji yang menghantui dan membebankan penjaja selama ini yang perlu diambil perhatian oleh pihak Majlis Perbandaran bagi memastikan sektor ini dapat berkembang dan maju sehingga bergelar usahawan dan setaraf dengan sektor formal.

Melalui kaedah observasi, pengkaji mendapati minat dan sifat pekerjaan penjaja juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan responden terus dan tertarik untuk menceburi kegiatan penjajaan ini. Masa perniagaan yang fleksibel juga turut menjamin kebebasan mereka dalam menentukan sama ada mereka ingin membuka perniagaan ataupun tidak. Aktiviti ini juga merupakan bidang yang paling mudah untuk diceburi kerana tidak memerlukan modal yang besar, tahap pendidikan yang tinggi serta kemahiran yang spesifik dan profesional. Justeru itu, sesiapa sahaja boleh menjadikannya sebagai peluang pekerjaan atau kerjaya.


5.4 CADANGAN

Secara keseluruhan, hasil kajian menunjukkan bahawa sektor informal (kepenjajaan) ini sememangnya membantu masyarakat setempat dalam menangani masalah sosioekonomi mereka dan sekaligus dapat mengatasi masalah kemiskinan bandar di peringkat mikro amnya. Sektor ini juga memang dilihat mempunyai potensi yang tinggi untuk terus maju sehingga penjaja tersebut dapat bergelar usahawan ataupun melangkah ke sektor formal walaupun mengambil jangka masa yang agak panjang. Namun begitu, terdapat beberapa kekangan dan masalah yang dihadapi oleh sektor ini untuk terus maju dan berkembang. Justeru itu, pengkaji telah memikirkan beberapa alternatif atau cadangan yang boleh diambil manfaatnya oleh penjaja, pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti kepenjajaan. Ini bagi mengatasi masalah-masalah dan meningkatkan lagi kesedaran para penjaja yang terlibat secara langsung dalam sektor ini.

Menerusi dapatan kajian dan kajian observasi, pengkaji mendapati penjaja kecil-kecilan yang berada di Bandar Baru Bangi ini tidak memiliki apa-apa badan persatuan yang dapat mewakili mereka dalam menjaga kebajikan dan membela nasib mereka. Ini berbeza dengan penjaja pasar malam dan pasar tani yang mempunyai persatuan mereka sendiri. Persatuan ini berperanan mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh mereka kepada pihak-pihak yang berkenaan dan menjaga kebajikan mereka seharian. Persatuan Penjaja adalah amat penting untuk membantu penjaja dalam menangani apa-apa masalah yang timbul, sama ada memudahkan dalam urusan pinjaman wang, membantu untuk mengurangkan kompaun, mendapatkan lesen atau permit perniagaan serta menganjurkan seminar perniagaan atau keusahawanan dan sebagainya. Persatuan penjaja ini juga penting dalam memastikan sektor ini dapat berkembang dan maju dengan lebih lancar lagi bagi mencapai tahap keusahawanan.

Justeru itu, pengkaji mencadangkan agar para penjaja kecil-kecilan yang berada di Bandar Baru Bangi ini menubuhkan satu badan persatuan sebagaimana badan-badan persatuan penjaja yang lain seperti persatuan penjaja pasar malam, pasar tani dan sebagainya. Berkaitan ini juga, setelah persatuan ditubuhkan, penjaja juga perlulah mempunyai semangat berpersatuan yang jitu dan bergiat aktif di dalam aktiviti-aktiviti anjuran persatuan ini. Kesedaran penjaja terhadap kepentingan berpersatuan juga penting bagi menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan agar sebarang ketidakpuasan dapat diluahkan ke saluran yang betul dan berkesan.

Seterusnya, mengikut kajian observasi, pengkaji mendapati penjaja kecil-kecilan ini tidak mempunyai kemahiran yang cukup dalam menangani masalah pengurusan perniagaannya. Ini menyebabkan mereka selalu mengalami masalah kewangan seperti mendapatkan kembali wang pusingan modal. Maka sukarlah bagi mereka untuk terus maju dan berkembang ke tahap yang lebih tinggi lagi. Justeru itu, pengkaji mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab mengadakan bengkel atau seminar yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran kewangan kepada penjaja ini.

Pihak berkuasa tempatan juga hendaklah memberi peluang bagi penjaja kecil-kecilan ini untuk mendapatkan seminar yang sememangnya sudah ada dijalankan atau memastikan segala berita dan maklumat tentang seminar yang diadakan sampai dan diketahui oleh semua penjaja atau kumpulan sasaran ini. Menurut Letchumanan Rahman (2003), pihak berkuasa tempatan atau pihak majlis perlulah membuat hebahan dan mendapatkan maklum balas mereka mengenai kursus-kursus intensif yang diadakan terutama berkaitan bidang pentadbiran dan pengurusan kewangan. Profesion penjaja juga dikenali sebagai medan latihan yang sesuai kepada kemahiran keusahawanan yang dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Ia dapat membantu seseorang penjaja di peringkat permulaan dalam sektor informal. Profesion ini merupakan kegiatan yang paling baik untuk membolehkan seseorang menjadi pengusaha yang dinamik dengan pekerjaan secara kecil-kecilan pada peringkat permulaan.

Di samping itu juga, pengkaji ingin mencadangkan agar diwujudkan satu kawasan khas di Bandar Baru Bangi bagi menempatkan para penjaja kecil-kecilan ini. Ini adalah bagi mengelak dan menyelesaikan impak yang timbul kesan daripada aktiviti sektor ini seperti gangguan terhadap lalu-lintas awam, persekitaran menjadi kotor sehingga mewujudkan pemandangan yang menjijikan dan tidak efisyen. Berdasarkan pemerhatian pengkaji, didapati Seksyen Enam Belas merupakan kawasan tumpuan penduduk Bandar Baru Bangi. Ini mungkin disebabkan ianya berada di tengah-tengah kawasan perindustrian, kawasan institusi pengajian tinggi, kawasan perumahan serta terdapatnya beberapa kemudahan perkhidmatan yang lengkap seperti bank, pejabat pos, stesen minyak dan juga kawasan tapak pasar malam.

Justeru itu, pengkaji mencadangkan kepada kerajaan tempatan untuk menjadikan tapak pasar malam tersebut sebagai tapak khas kepada para penjaja untuk berniaga. Perniagaan ini boleh dijalankan seperti mana wujudnya aktiviti perniagaan penjaja kecil-kecilan di Jalan Chow Kit, Jalan Petaling dan Pasar Seni di Kuala Lumpur. Cadangan ini bukan sahaja dapat menangani masalah fizikal Bandar Baru Bangi tetapi juga dapat menjadikan tempat ini unik dan mampu menarik pelancong dari dalam atau luar negara berkunjung ke kawasan ini. Oleh yang demikian, pengkaji telah mencadangkan pelan yang sesuai untuk digunakan bagi mewujudkan pasar tersebut iaitu pada rajah 4.1 dan rajah 4.2.

Walaupun kawasan ini merupakan kawasan tapak pasar malam, tetapi bukanlah maksud pengkaji untuk menghapuskan pasar malam di sini. Sebaliknya pengkaji mencadangkan agar tapak ini digunakan oleh penjaja kecil-kecilan pada hari pasar malam tidak dijalankan. Lazimnya, pasar malam akan beroperasi iaitu dua hari di dalam satu minggu. Maka dengan ini, ruang dan tapak tersebut dapat dimanfaatkan dan digunakan dengan sepenuhnya pada tiap-tiap hari. Pengkaji juga mencadangkan agar perniagaan ini dibahagikan kepada waktu pagi, tengahari dan malam mengikut kesesuaian jenis jualan penjaja. Contohnya penjaja yang menjaja di waktu pagi seperti menjaja nasi lemak, kuih-muih dan barangan keperluan dapur seperti sayur-sayuran, ikan dan rempah-ratus dapat menggunakan tempat ini pada waktu pagi sahaja (waktu yang ingin digunakan sahaja).








Tapak cadangan ini juga mungkin hanya menggunakan separuh jalan sahaja bagi menjalankan aktiviti ini kerana kebiasaannya mereka hanya menjual di dalam kuantiti yang sedikit dan tidak memerlukan kawasan yang luas. Dengan ini lalu-lintas di kawasan ini masih boleh digunakan atau terus ditutup dan menggunakan jalan alternatif yang terdapat di sebelah tapak ini bagi mengelak kesesakan.

Dengan wujudnya tapak khas ini, pihak berkuasa MPKj lebih mudah menjalankan kerja-kerja pemantauan, mengenalpasti mereka yang berlesen atau tidak dan dapat menguruskan sektor penjajaan ini dengan lebih mudah dan efisyen. Pihak majlis juga dapat mengenakan bayaran seperti mana bayaran yang telah dikenakan kepada para penjaja pasar malam. Justeru itu, sektor ini boleh terus dijalankan bagi membantu dalam meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat dan pihak majlis dapat memantau dengan lebih mudah dalam memastikan ianya tidak menganggu sifat fizikal Bandar Baru Bangi pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, dapatlah dikatakan bahawa kesemua analisis, cadangan dan keterangan data-data mengenai aspek sosioekonomi penjaja, persepsi penjaja, potensi yang dimiliki serta hubungan penjaja dengan pelanggan dan pihak berkuasa tempatan yang dijalankan oleh pengkaji, perlu diambil perhatian oleh pihak MPKj, pihak Perancang Bandar dan mana-mana pihak yang berkenaan bagi memahami lebih lanjut situasi sebenar yang dihadapi oleh sektor ini. Justeru itu tindakan segera yang sewajarnya diharap dapat diambil dan dijalankan oleh pihak yang berkenaan.

Kesimpulannya, kegiatan dan aktiviti sektor informal (kepenjajaan) ini sememangnya amat berpotensi untuk diperkembangkan dan dimajukan. Ini kerana ianya merupakan satu industri perniagaan dan perkhidmatan yang penting dalam membantu menangani masalah kemiskinan bandar, mewujudkan lebih ramai lagi golongan usahawan dan sekaligus dapat membantu dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Justeru itu diharapkan semua pihak dapat berganding bahu dalam meningkatkan pertumbuhan dan kemajuan sektor ini sehingga ianya setaraf dengan sektor formal kelak.

No comments: